VISI : Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera MISI : Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara

SIRE-EURO

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Wednesday, October 7, 2015

Kepimpinan Cemerlang

Sifat Kepimpinan Yang Cemerlang
Pengetua merupakan seorang pemimpin.  Jadi sudah semestinya mereka memikul tanggungjawab yang agak besar. Besarnya peranan seorang pengetua tidak dapat dinafikan oleh semua orang yang waras dan rasional pemikirannya. Hal ini berdasarkan fakta ; kapal akan karam atau hanyut di lautan jika tanpa nakhodanya. John Harvey – Jones, bekas pengerusi ICI mengibaratkan pemimpin seperti konduktor orkestra simfoni, iaitu ;
“Gagalnya peranan konduktor mengawal sekumpulan manusia orkestra   yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut jenis instrument, maka sudah pasti akan gagal menghasilkan suatu  karya seni yang mampu menghiburkan pelbagai penonton
yang kritis “
Dari kaca mata sebuah organisasi pendidikan pula,  kepentingan peranan seorang pemimpin dapat dirumus dengan melihat  rumusan yang dibuat oleh Fred M. Hechinger (dlm. Davis & Thomas 1989: 17 ) untuk dijadikan renungan dan pegangan, iaitu ;
“Bahawa dia tidak pernah melihat sekolah yang baik dipimpin
oleh pengetua yang lemah atau sekolah yang lemah dipimpin
oleh pengetua yang baik. Dia telah melihat sekolah yang lemah
bertukar menjadi sekolah yang cemerlang dan malangnya
terdapat juga sekolah yang cemerlang merosot dengan teruknya.

Hal ini memperlihatkan , jatuh bangunnya sesebuah sekolah (organisasi pendidikan) boleh dikesan melalui keberkesanan kualiti peranan pemimpinnya atau pun pengurusnya iaitu pengetua.”

Sebagai seorang pemimpin sewajarnyalah  seorang pengetua mempunyai keupayaan mempengaruhi guru-guru melaksanakan tugas-tugas sekolah secara sukarela  dengan penuh dedikasi dan memastikan semua guru berdisiplin dalam mematuhi semua peraturan yang ditetapkan. Keupayaan seperti inilah yang membezakan antara sekolah yang berjaya dengan yang sebaliknya.

Tanggungjawab seorang  pengetua menjadi penting kerana tugas utamanya adalah untuk memastikan “core business “ sekolah iaitu antaranya pelajar belajar dan guru mengajar dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai kejayaannya. Pada masa yang sama juga, dengan kekuatan gaya kepimpinannya, pengetua diharap dapat membangkit dan mengekalkan komitmen guru terhadap organisasinya, efeksi guru dan kepuasan kerja mereka disekolahnya tanpa pengabaian kepada keperluan dan kebajikan guru-gurunya.

Pengetua yang cemerlang mampu mengubah tabiat semua sumber di bawah kawalannya, bukan sahaja pelajar atau staf pejabat, malah semua guru-gurunya dari yang tidak berdisiplin kepada berdisiplin dan dari yang tidak berdedikasi kepada berdedikasi dengan cara yang berhemah. Pendek kata semua nilai-nilai negatif dari segi tindakan, sikap dan andaian-andaian perangkap minda (mind trap) yang  merupakan  penghalang kepada sebuah kejayaan akan mampu dipositifkan demi mencapai sebuah kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Menurut Rutter (1979), keberkesanan sekolah mempunyai pertalian dengan apa yang berlaku di dalam sekolah itu sendiri  Sweeney (1982) mengenal pasti 6 ciri kepimpinan Pengetua yang dikatakan efektif iaitu; mengutamakan pencapaian, menentukan strategi pengajaran, menyelaras program – program pengajaran, membantu guru – guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, menilai kemajuan pelajar dan mengadakan iklim sekolah yang teratur.
Jelas dari pendapat di atas bahawa segala aktiviti pengajaran dan
pembelajaran harus berasaskan kepada peningkatan proses pendidikan di bilik darjah disertai dengan pembangunan dalaman sekolah itu sendiri iaitu apa yang dikenali sebagai iklim sekolah.

Antara pembangunan dalaman yang dapat mewujudkan iklim sekolah yang mempengaruhi segala perlakuan dalam menghasilkan produktiviti yang tinggi dalam mencapai matlamat organisasi akhirnya ialah semua individu yang mengamalkan sikap berdisiplin dan berdedikasi dalam kalangan ahli organisasinya. Kualiti disiplin dan semangat dedikasi mereka bukanlah sesuatu yang statik. Kepimpinan pengetua yang berkualiti sudah pasti mampu untuk membentuk seluruh individu di dalam organisasinya berkhidmat dengan penuh berdisiplin dan berdedikasi dalam mencapai matlamat organisasi.

Pengaruh teladan yang positif boleh mendatangkan hasil atau faedah yang baik dan banyak, begitu juga yang negatif boleh membawa padah yang buruk. Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud :-
“Sebaik – baik  kamu ialah orang yang paling berfaedah kepada orang lain “. Di sini nyatalah bahawa orang yang paling baik itu akan mempengaruhi orang lain sama ada dari segi kepimpinan, tunjuk – ajar, akhlak, tutur kata atau tingkahlakunya yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain.

Pemimpin yang berbudi mulia sangat mudah ditaati, dihormati, disegani dan bukan ditakuti. Ketua yang tegas tetapi adil lebih senang meningkatkan produktiviti dan kualiti organisasi serta lebih mudah dicontohi. Sifat merendah diri memerlukan kekuatan peribadi dan kebijaksanaan. Ketua yang mempunyai sifat ini dihormati pekerja dan lebih mudah mengawal organisasi. Tertib dan beradab seseorang yang penuh disiplin dalam hidupnya, tahu berinteraksi sesama manusia , tahu membawa diri dalam semua situasi dan persekitaran serta tahu peraturan- peraturan etiket sosiobudaya bangsanya mestilah menjadi amalan pengetua untuk menjadi teladan untuk dicontohi.

Dengan mengamalkan sikap – sikap yang terpuji barulah pengetua mampu untuk membentuk kakitangan berdisiplin kerana mereka akan patuh dan taat pada semua peraturan dan arahan atas dasar menghormati sikap mulia pemimpin yang wajar diteladani, walaupun semasa ketiadaannya di sekolah.

Dalam membentuk ahli organisasi yang berdedikasi, yang menjadi teras untuk mewujudkan iklim sekolah yang mengamalkan budaya kerja cemerlang, pengetua hendaklah memastikan kakitangannya mempunyai ilmu, kemahiran dan sikap merujuk kepada motivasi yang tinggi dalam bidang tugasan yang diarahkan. Tanpa ilmu dan kemahiran contohnya dalam bidang fizik, agak mustahil seorang guru itu akan bermotivasi untuk masuk ke kelas dan dapat mengajar dengan penuh dedikasi, yang akhirnya murid juga yang rugi.

Salah satu tugas pemimpin yang paling penting ialah membuat keputusan. Namun cara pemimpin membuat keputusan juga banyak mempegaruhi dan mendorong semangat kerja kakitangannya. Terdapat empat(4) gaya kepimpinan lazimnya yang boleh digunakan dalam membuat keputusan :-
Autokratik       -    berdasarkan maklumat yang ada kepadanya seorang, pemimpin membuat keputusan sendiri tanpa melibatkan mereka yang dipimpin.
Demokratik – autokratik     -   pemimpin mencari dan mendapatkan maklumat daripada mereka yang dipimpin, berdasarkan maklumat itu ia membuat keputusan sendiri .
Konsultatif
Pemimpin meminta pendapat dan pandangan serta idea – idea daripada mereka yang dipimpin dengan cara berunding secara seorang demi seorang, lalu dia sendiri membuat keputusan.
Keputusan Berkumpulan
Pemimpin berkongsi masalah dengan mereka yang dipimpin  di dalam mesyuarat di mana keputusan dibuat melalui perbincangan dan kata sepakat.
Setiap gaya di atas mempunyai kekuatan dan kelemahannya sendiri. Namun keputusan secara perbincangan dan sepakat biasanya lebih disokong dan diterima ahli organisasi berbanding yang dibuat secara autokratik, tetapi faktor masa panjang yang diperlukan kerap membatasi. Oleh itu, seseorang pemimpin mestilah berupaya memilih dengan tepat gaya kepimpinan yang bagaimana yang paling sesuai digunakan apabila hendak membuat keputusan. Gaya yang dipilih itu mestilah gaya yang faedahnya paling banyak dan risikonya paling sedikit.
Sikap dedikasi di kalangan ahli organisasi juga akan sentiasa tinggi sekiranya mereka sama-sama berusaha mencapai satu halatuju yang ditetapkan oleh organisasi. Ini dapat direalisasikan melalui peranan seorang pengetua dengan mengambil langkah-langkah seperti; gubal suatu visi untuk organisasi yang dipimpin, gubal strategi bagaimana visi itu hendak dicapai, jangan berhenti bercakap tentang visi. pamerkan rasa yakin dan sikap optimis yang tinggi bahawa visi itu dapat dicapai, pamerkan rasa yakin pada bakat dan kebolehan mereka yang dipimpin, pupuk keyakinan diri mereka yang dipimpin, raikan semua kejayaan dan pencapaian, jangan cuma bercakap, tunjukkan teladan
Tuntasnya, pemimpin haruslah berupaya memainkan peranannya dalam membentuk dan menyemai sikap berdisiplin dan berdedikasi kepada semua sumber modal insan di bawah kepimpinannya. Pemimpin,dalam konteks ini ialah pengetua adalah penentu kepada jatuh bangunnya sesebuah sekolah. Pengetualah juga orang penting yang menjadikan sekolahnya sebuah sekolah kesayangan masyarakat. Ini sudah semestinya akan menjadikan semua warga sekolah mendapat kepuasan kerja yang sejati yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit serta bakal mendorong mereka untuk bekerja dengan lebih berdisiplin dan berdedikasi pada masa depan.


0 comments:

Post a Comment