Kepimpinan Berkesan dalam Kalangan Pengetua di Sekolah Adalah
Penentu Pendidikan Abad ke 21
M. Khata Jabor, Zaipah Binti Ismail
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
81300 Skudai, Johor, Malaysia
Tel: +60-7-553-2620 E-mail: mkhata@utm.my
Abstrak
Kepimpinan pengetua yang berkesan dan bersungguh merupakan pemboleh ubah kepada
kejayaan sekolah. Pengetua memainkan peranan yang penting sebagai pemimpin yang
mempunyai wawasan yang jelas tentang organisasi dan kakitangannya. Pencapaian
kecemerlangan sesebuah sekolah adalah bergantung pada pengurusan yang baik dan
kepimpinan yang strategik. Pengetua perlu mempunyai kebijaksanaan yang tinggi untuk
menjadi pemimpin yang berkesan, berpengalaman dan proaktif di pelbagai peringkat.
Pengetua perlulah peka dan sensitif terhadap perubahan mendatang, lebih berprestij dan
berkaliber untuk membentuk pendidikan abad ke 21. Penekanan kepada nilai-nilai murni dan
ketuhanan adalah penekanan yang memang sewajarnya sebab nilai-nilai murnilah yang
menjadikan seseorang itu pemimpin yang berkesan dengan kedinamikan dan kekreatifannya
dalam menghadapi masalah-masalah, mencapai matlamat-matlamat dan juga membuat
pilihan-pilihan yang diperlukan dalam menghadapi apa-apa halangan. Kepimpinan yang
berkesan, dinamik dan berwawasan berupaya mewujudkan para pendidik yang mempunyai
komitmen yang tinggi untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti abad ke 21. Dengan
ini akan dapat melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta mempunyai
akhlak yang mulia.
Kata kunci: Kepimpinan Berkesan, Pendidikan Abad ke 21.
1. Pengenalan
Kepimpinan berlaku apabila seseorang mendorong, memujuk dan mempengaruhi orang lain
untuk berusaha ke arah pencapaian sesuatu objektif organisasi. Organisasi yang berjaya dapat
dibezakan dengan organisasi yang tidak berjaya bergantung kepada gaya kepimpinan yang
dinamik dan efektif. Kejayaan organisasi bergantung pada kepimpinan yang berwibawa.
Sekolah yang berkesan dipimpin oleh pengetua yang cemerlang (Abd. Karim 1989). Atan
Long dalam kajiannya pada 1991 mendapati sekolah-sekolah yang mempunyai kejayaan yang
tinggi dalam bidang akademik adalah dipimpin oleh pengetua yang berkesan.
Menurut Prof Datuk Dr Ahmad Zainuddin Pengarah UNISEL Shah Alam, Kepemimpinan
unik seorang pemimpin yang baik merangkumi kebolehan memberikan hala tuju yang jelas,
menggalakkan organisasi supaya cenderung kepada pendidikan, memacu organisasi supaya
lebih berkesan dan berkeperibadian yang menyokong usaha percambahan ilmu. Beliau
menjelaskan, faktor kritikal yang menentukan pencapaian cemerlang organisasi adalah
pengurusan yang baik dan kepemimpinan strategik.
Pemimpin yang dinamik, berpengalaman dan proaktif dapat mengatasi masalah perbezaan
antara kakitangan dengan bijak menerusi perbincangan yang telus dan ada permuafakatan,
sekali gus mencari kaedah dan pendekatan kerjasama yang jelas serta kukuh.
Husin (1993) dalam buku, Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah, membezakan
keberkesanan sekolah ialah kepimpinan pengetua. Kepimpinan pengetua yang dinamik dan
bersungguh merupakan pemboleh ubah kepada kejayaan sekolah.
Pengetua berkesan ialah
pengetua yang memainkan peranan sebagai pemimpin yang berwawasan jelas tentang
organisasinya dan kakitangannya. Menurutnya ada empat peranan pemimpin untuk mencapai
perubahan organisasi dan perubahan sikap kakitangan:
1. Mempunyai kemahiran teknikal
2. Pemimpin berperanan sebagai jurutera manusia
3. Pemimpin simbolik
4. Pemimpin budaya
Cabaran
Pendidikan masa kini dan masa hadapan memerlukan pemimpin sekolah peka dan
sensitif terhadap perubahan yang mendatang, justeru barisan pemimpin perlu lebih berprestij
dan berkaliber. Pengetua perlu menilai semula prestasi masa sekarang dan menyusun
tindakan supaya lebih dinamik serta melaksanakan perubahan berani bersesuaian dengan
cabaran semasa bagi persediaan pendidikan abad ke 21.
2. Objektif Kajian
Sebab utama kertas kerja ini adalah untuk menentukan bagaimana kepimpinan berkesan
boleh digunakan dalam mengurus dan mentadbir sekolah. Sementara itu, objektif kajian ini
adalah untuk;
1. mengenal pasti ciri-ciri kepimpinan berkesan penentu pendidikan abad ke 21.
2. Mengenal pasti isu dan cabaran kepimpinan berkesan di sekolah sebagai penentu
pendidikan abad ke 21.
3. Kaedah
Kajian literatur yang berkaitan telah digunakan untuk mengumpul data bagi artikel ini.
Artikel yang bersesuaian dicari melalui jurnal seperti google, dan yahoo
(http://www.google.com.my; dan http:www yahoo.com. Selain itu membuat rujukan tesis di
perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) laman web di www.utm.my / spz.
Maklumat juga dicari melalui buku teks, artikel jurnal, prosiding persidangan, kertas
perbincangan, laporan dan dokumen yang telah dibaca dan dianalisis untuk menghasilkan
jurnal ini.
4. Kepimpinan Berkesan
Menurut Stogdill (1958), kepimpinan ialah proses mempengaruhi aktiviti-aktiviti sekumpulan
orang dalam organisasi ke arah penentuan dan pencapaian matlamat organisasi. Terry (1960)
mendefinisikan kepimpinan sebagai “aktiviti mempengaruhi orang supaya berusaha secara
sukarela ke arah mencapai matlamat kumpulan. Dalam sebuah sekolah, kepimpinan adalah
satu aspek tingkah laku pengetua dan juga sejenis pengaruh. Oleh sebab kepimpinan
pengetua adalah bergantung pada kedudukan formal dalam struktur organisasi sekolah, maka
ia disifatkan sebagai kepimpinan formal.
a. Ciri-ciri kepimpinan berkesan
Kepimpinan berkesan menurut Hj. Dahari Hj Derani ialah:
Komited terhadap kerja dan pengikut
Mempunyai pengaruh
Berupaya memujuk
Mampu membimbing
Sebagai insan contoh
Mencipta nilai baik yang tiada sebelum ini
Menyahut perubahan
Menumpu kepada misi organisasi dan masa akan datang
Menjaga rahsia
Menurut Haji Dahari juga kepimpinan yang efektif ialah suatu proses untuk menciptakan
wawasan, mengembangkan suatu strategi, membangun kerjasama dan mendorong tindakan.
Pemimpin yang efektif adalah :
1. Menciptakan wawasan untuk masa depan dengan mempertimbangkan kepentingan jangka
panjang kelompok yang terlibat
1. Mengembangkan strategi yang rasional untuk menuju ke arah wawasan tersebut.
2. Memperoleh dukungan dari pusat kekuasaan yang bekerjasama, persetujuan, kerelaan
atau kelompok kerjanya diperlukan untuk menghasilkan pergerakan itu.
3. Memberi motivasi yang kuat kepada kelompok inti yang tindakannya merupakan
penentu untuk melaksanakan strategi
b.
Kepimpinan berkesan menerajui perubahan
Menurut Jaafar (1992), terdapat garis-garis panduan yang boleh digunakan untuk menjadi
pemimpin berkesan dan membawa perubahan kepada organisasi dan kakitangannya:-
1. Kebanyakan pemimpin terdiri daripada mereka yang berpengaruh, pintar, agresif,
berinisiatif dan mempunyai keyakinan diri dan kebolehan menyelia. Pemimpin perlu
membuat keputusan, penilaian diri dan peningkatan keyakinan diri.
2. Mengetahui dan mengamalkan gaya kepimpinan yang berkesan. Memahami gaya
tersendiri untuk mengekalkan keadaan fleksibel supaya dapat menyesuaikan dengan
pelbagai situasi yang berkenaan.
3. Mempercayai perkara yang baik tentang orang lain. Pemimpin yang berkesan,
personel yang bijak, bertanggungjawab dan ingin menyelesaikan.
4. Memenuhi keperluan kakitangan. Pemimpin berkeupayaan mendorong,meyakinkan
kakitangan untuk berusaha mencapai matlamat organisasi.
5. Sesuaikan kepada ciri-ciri kerja. Pemimpin berkesan membentuk matlamat untuk
dijadikan panduan staf, menguatkuasakan peraturan yang terancang dan rapi untuk
melaksanakan tugas.
6. Bertindak sebagai pemimpin. Bertindak seperti yang dijangka dan yang diinginkan
oleh pengikut agar sanjungan setaraf dengan pemimpin.
5. Pendidikan Abad ke 21
a. Definisi Abad ke 21
Abad ke 21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan Kalendar Gregory,
Tempohnya adalah dari 2001 hingga 2100 dan tempoh milenium ketiga adalah dari 2001
sehingga 3000. Ini disebabkan pengiraan abad pertama bermula dengan tahun 1. Biasanya,
penggunaan umum menganggap bahawa abad ke-21 berlangsung dari 2000 hingga 2099
dan milenium ketiga dari 2000 sehingga 2999. Pada 2000, ISO menyokong kegunaan
umum dengan mentakrifkan kalendar yang memulakan perhitungannya dari tahun sifar.
Dari segi amalan, masalah ini telah pun diselesaikan dengan penggunaan 1 Januari, 2000
yang meluas untuk menandakan permulaan abad ke-21. Dekad-dekad sering dianggap
sebagai bermula dengan tahun sifar dan diberikan nama yang sewajar, umpamanya "2010-
an" dan sebagainya. Serupa dengan tempatnya abad ke-20 dalam penamaan "20th century
Fox", abad ke-21 telah dipergunakan dalam nama pelbagai syarikat dan organisasi.
Razali Ismail (2000:2), mengatakan abad Ke-21 sering dikaitkan dengan era Teknologi
Maklumat (IT) yang memungkinkan kepantasan dan menjumudkan faktor jarak dan masa.
Perkembangan terkini dalam open sky technology membawa implikasi kepada
kehidupan manusia sejagat. Seperti yang kita lihat dan rasa, dunia yang luas pada
hakikatnya telah dikecilkan dengan teknologi komunikasi yang canggih dan pantas.
b. Isu Dan Cabaran
Dalam keghairahan dunia abad ke 21 menikmati kemajuan sektor teknologi maklumat dan
komunikasi, bidang pendidikan khususnya di negara kita terus berhadapan dengan
pelbagai isu dan cabaran yang perlu dilihat dengan rasa tanggungjawab oleh semua pihak.
Sekiranya isu-isu dan cabaran ini tidak ditangani dengan baik dan betul, kemajuan yang
dicapai bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang faedah, bahkan akan menimbulkan
berbagai-bagai isu kemanusiaan sejagat. Cabaran pendidikan masa kini sangat
memerlukan kepimpinan pengetua berubah mengikut peredaran dan cabaran pendidikan
alaf baharu. Sebagai negara yang sedang berkembang pesat untuk mencapai Wawasan
2020 kepimpinan sekolah memerlukan perubahan dan anjakan paradigma yang dapat
merintis ke arah alaf baru dalam segala aspek.
“Sememangnya tugas ini amat berat, saya memerlukan pasukan benar-benar komited,
amanah, jujur dan sanggup bekerja keras untuk memastikan segala perancangan kita
dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu.”
YB Dato Sri Hisamudin Tun Husin On
Perutusan Tahun Baru 2006
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (Hal.30)
c. Pendidikan Bertaraf Dunia
Pendidikan bertaraf dunia merupakan satu komitmen kepimpinan Malaysia Ke Arah
Pendidikan Bertaraf Dunia yang telah diilhamkan oleh Y.A.Bhg Tun Abdullah Ahmad
Badawi, Mantan Perdana Malaysia di Sidang Kemuncak Pendidikan 2004. Beliau
menyatakan”Membangunkan Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia merupakan agenda
kerajaan saya”. Pendidikan Bertaraf Dunia merupakan wahana penting bagi mencapai
hasrat wawasan 2020 ialah mahu menjadikan masyarakat Malaysia maju dan saintifik.
Masyarakat maju perlu bersedia untuk menerima sesuatu yang baru,maju dan berdaya
saing. Agen perubahan utamanya ialah pendidikan. Pendidikan merupakan alat terpenting
di dalam pembangunan sumber manusia ke arah pencapaian matlamat pembangunan
negara. Pendidikan bertaraf dunia atau world class akan menentukan kejayaan
perubahan insan. (Mohd Najib , 1997). Ini adalah antara kata-kata terawal pemimpin kita
mengenai pendidikan bertaraf dunia.
d. Ledakan Globalisasi menimbulkan masalah sosial pelajar
Pendidikan abad ke 21 lakarkan cabaran yang menakutkan. Di samping kemajuan sains
dan teknologi, kemudahan alat telekomunikasi yang semakin canggih jelas mempunyai
keburukan terutama para remaja bahkan seluruh masyarakat. Kemudahan internet
disalahgunakan. Fenomena ini berlaku di kalangan pelajar yang belum matang semakin
menular dan membimbangkan.
Inilah isu dan cabaran kepada pemimpin dan guru di sekolah dan tugas pendidikan di era
IT ini untuk dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Jika tidak, gejala ini akan
semakin teruk dan berleluasa. Akhirnya anak-anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan
pada masa hadapan akan rosak dan merosakkan orang lain dan nama buruk negara.
6. Kepimpinan Melalui Pengurusan Strategik
Kepimpinan yang berkesan melalui pengurusan yang strategik perlu diamalkan oleh
pemimpin sekolah bagi memastikan organisasi sekolah bersaing dengan dunia mencabar ini.
Untuk mencapai matlamat organisasi dan membawa perubahan kepimpinan berkesan,
pengurusan berwawasan serta mempunyai hala tuju yang jelas menjadi teras kepada kejayaan
(Edaris Abbu Bakri, 2005).
Merujuk kepada Razali Mat Zain (1989), kepimpinan sekolah perlu:
1. Memiliki ciri kepimpinan yang berupaya menetapkan matlamat, mengarah serta
menyelaras dan mentadbir untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
2. Memberi kepuasan kakitangan dan menghasilkan prestasi kerja cemerlang
3. Yakin deng kepimpinan.
4.
7. Kepimpinan Melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara.
Kepimpinan sekolah hendaklah berpaksikan kepada konsep ketuhanan. Paksi ketuhanan
dalam sistem pendidikan adalah wajar kerana paksi tersebut adalah amat kukuh dan boleh
menjamin pembentukan pendidikan seimbang. Paksi ketuhanan dapat menghasilkan pelajar
yang mempunyai pegangan agama yang kuat dan mempunyai sahsiah diri yang terpuji.
Kepimpinan sekolah boleh menerapkan nilai murni dan melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis melalui ko-kurikulum. Maka, mereka haruslah memberi tumpuan utama kepada
pengembangan watak, peribadi dan sahsiah pelajar. Ia perlu untuk mengupas masalah dan
cabaran masa kini dan masa akan datang. Ia juga diperlukan untuk memupuk nilai-nilai
kewarganegaraan supaya hasrat untuk mewujudkan perpaduan rakyat dan identiti kebangsaan
boleh dicapai.
Penghayatan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan pelaksanaannya adalah tanggungjawab
bersama di antara pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat
Pendidikan Daerah dan sekolah. Namun begitu pelaksanaannya adalah di sekolah. Langkah
peningkatan keberkesanan dan profesionalisme pengurusan dan pentadbiran pendidikan perlu
diberi perhatian yang sepatutnya.
8. Kesimpulan
Kemajuan dan perubahan organisasi bergantung pada individu dalam organisasi,
menggunakan kemudahan yang kondusif, tanpa pembaziran tenaga dan sumber. Bagi
mencapai pendidikan abad ke 21, pemimpin sekolah perlulah dinamik, mempunyai
kepimpinan berkesan, berkualiti dan cemerlang serta perubahan yang berlaku dirancang,
dilaksanakan dan dipantau secara sistematik supaya menjadi institusi penghasilan generasi
cemerlang, terbilang, gemilang dan berakhlak mulia.
Rujukan
Al. Ramaiah (2009). Kepimpinan Pendidikan. Puchong: IBS Buku Sdn. Bhd.
Husin Mahmood, (1993). Kepimpinan Berkesan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan
Pustaka.
Jaafar Muhammad (1988). Asas Pengurusan. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Jurnal Akademik IPGM Kampus Kota Bharu Bil. 1/2009.
Kementerian Pelajaran Malaysia, (2007). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.
Puterajaya: Perpustakaan Negara Malaysia.
Khairina Yasin (2009). Kepemimpinan dinamik. Berita Harian 8-September-2009.
Razali Mat Zan (1996). Kepimpinan Dalam Pengurusan. Kuala Lumpur: Utusan Publication
and Distributors Sdn. Bhd.
Sumber : Wikipedia bebas dalam Versi Bahasa Melayu; Tarikh akses : 24 September 2010.
Tajul Ariffin Mohd Noordin & Nor Aini Dan (1992).Pendidikan Dan Wawasan 2020. Kuala
Lumpur: Arena Ilmu Sdn Bhd.
Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, (1993).Wawasan pendidikan Agenda Pengisian. Kuala
Lumpur: Nurin Enterprise.